Posted by hazaldin on 21 Januari 201
Konsep Masa
Masa adalah ciptaan Allah yang paling hebat. Sehingga hari ini ahli fizik dan falsafah masih lagi kebingungan dalam mencari formula atau memahami ‘the concept of time’.
Allah Tuhan yang menciptakan masa. DIA menciptakan sekelian makhluk dan menempatkan mereka dalam sistem masa. Masa adalah makhluk Allah. Allah pencipta segalanya. DIA tidak terikat dengan masa, bahkan DIAlah yang menentukan masa. Sebab itu DIA bersumpah dalam al-Quran dengan pelbagai masa; fajar, dhuha, malam, siang dan seterusnya. Ini satu persoalan yang dapat difahami tetapi sukar untuk dimengertikan sepenuhnya. Apakah itu masa? Suatu keajaiban yang sedang diburu oleh saintis; ‘time and space’.
Masa = tempo = waktu = time = as-saah = الزمن =
Jarak Masa
Mendekati persoalan ini membolehkan kita memahami perkara yang berhubung dengan keimanan kita kepada nas-nas Allah dan rasulNYA. Umpamanya, antara tanda-tanda kiamat yang sebut oleh Nabi s.a.w:
“Zaman menjadi dekat (pendek), ilmu berkurangan, dicampakkan kebakhilan (dalam jiwa) dan banyaknya haraj”. Sahabat bertanya, ‘apa itu haraj’. Nabi s.a.w: bersabda: ‘bunuh dan bunuh’. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Zaman menjadi dekat diulas dengan pelbagai andaian, antaranya umur menjadi pendek, atau peralatan canggih yang ada memendekkan waktu yang diperlukan untuk sesuatu urusan dan seumpamanya. Itulah tafsiran-tafsiran yang dibuat tanpa mengandaikan bagaimana 24 jam sehari yang kita berada dalamnya boleh menjadi pendek atau dekat jaraknya.
Namun, bagi sesiapa melihat dari teori ‘relativity of time’ akan memahami maksud hadis ini. Walaupun jam yang kita memiliki menunjukkan setiap insan memiliki 24 jam sehari, namun setiap kita dapat merasai panjang dan pendek jarak waktu yang berlainan hari adalah tidak sama. Ada masa, kita rasa agak lama. Ada masa kita rasa terlalu sekejap.
Berdasarkan hadis ini, waktu kita pendek dan waktu yang dimiliki oleh orang terdahulu lebih panjang dari yang kita miliki. Bayangkan, tanpa teknologi internet, tanpa handphone, tanpa semua yang kita miliki sekarang, mereka dapat menghasilkan pelbagai kerja-kerja besar. Karya-karya besar dan bangunan-bangunan besar. Tanpa mengira tamadun, sama ada sebelum atau selepas kedatangan Islam, manusia berjaya mewarisi khazanah ilmu yang hebat tanpa peralatan canggih seperti kita.
Walaupun hari ini, dengan segala kelebihan yang ada, yang boleh memintas jarak; seperti telepon dan internet yang memboleh kita menghubungi mereka yang jauh tanpa bergerak ke tempat berkenaan secara fizikal, atau kenderaan canggih yang membolehkan kita sampai ke sesuatu tempat dengan pantas, namun di zaman inilah manusia banyak mengadu ‘tidak cukup waktu’. Tidak cukup untuk Tuhan, tidak untuk dirinya, tidak untuk keluarganya. Ke manakah masa 24 sehari itu pergi? Ia sebenarnya telah menjadi pendek.
Tidak Sama
Di samping waktu itu tidak sama masa antara seorang dengan seorang yang lain. Walaupun setiap orang memiliki 24 jam pada hitungan jarum jam, namun jarak waktu atau space of time yang dilalui oleh seseorang mungkin berbeza. Seseorang yang diberikan Allah kenikmatan tertentu selama setahun mungkin merasainya lebih lama dari seseorang yang diberikan nikmat yang sama dalam tempoh sepuluh tahun. Seseorang yang dilihat menderita sepuluh tahun mungkin merasainya lebih pendek dari seseorang yang menderita perkara yang sama selama setahun.
Maka jangan hairan jika kesabaran manusia berbeza. Jangan hairan juga syukur manusia itu berbeza. Sebab, apa yang sama pada zahirnya, belum tentu sama pada batinnya. Tapi hairanlah bagaimana kehebatan Allah membahagikan kurniaanNYA yang kelihatan sama tetapi berbeza disebabkan jarak waktu dan masa.
Masa adalah penentuan Allah yang mutlak maka insan tidak perlu hairan tentang banyak persoalan berhubung dengan keadilan Allah. Seseorang mungkin bertanya di manakah keadilan bagi insan zalim yang meninggal ratusan tahun dahulu yang diazab di kuburnya sehingga kiamat dengan si zalim yang baru meninggal. Jika kiamat masih lambat, seakan tidak adil orang yang mati terdahulu terpaksa melalui waktu azab yang lebih panjang. Semua persoalan ini pada asasnya, kita meyakini keadilan Allah. Kedua, dengan memahami bahawa waktu itu sesuatu yang relatif maka kita akan faham secara umum hal ini.
Perbezaan Alam
Masa atau waktu sesuatu alam juga tidak sama. Alam dunia dan alam barzakh mempunyai konsep waktu yang berbeza. Kehidupan dunia dan kehidupan akhirat juga mempunyai konsep waktu yang berbeza. Allah berfirman: (maksudnya)
“dan mereka meminta kepadamu (Muhammad) agar menyegerakankedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjiNYA; dan (katakanla): sesungguhnya satu hari (dari hari-hari azab) di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung”. (Surah al-Hajj, 47).
Demikian ketika Allah menceritakan tentang penciptaan lagi dan bumi dengan firmanNYA: (maksudnya)
“Allah mentadbirkan dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepadaNYA (urusan) pada satu hari yang kadarnya seribu tahun menurut apa yang kamu hitung” (Surah al-Sajdah, 5).
Banyak ayat-ayat ini telah diterjemahkan dalam sesetengah al-Quran terjemahan melayu secara semberono disebabkan penterjemah itu gagal memahami konsep masa yang hendak dijelaskan oleh al-Quran. Mereka telah mengubah terjemahan kerana perasaan ganjil mereka terhadap maksud ayat-ayat ini. Terjemahan bebas mereka telah merosakkan maksud asal yang terkandung dalam bahasa arab yang indah.
Apa yang al-Quran jelaskan ialah masa itu tidak sama antara satu alam dengan alam yang lain. Bumi ini terlalu ‘halus’ bagaikan debu jika dibanding alam semesta yang luas. Masa yang dirasai oleh penduduk bumi tentu tidak sama dengan masa yang ada di tempat lain selain bumi. Dengan melihat keagungan Allah yang menentukan kadar masa yang berbeza bagi tempat yang sama dan yang berlainan, alam yang sama dan yang berlainan, maka dapat kita fahami betapa halus dan teliti kuasa dan keadilanNYA.
Orang di sebelah kita mungkin hidup dalam satu lingkungan masa yang berbeza dengan kita. Seorang yang sedang sakit bertahun di atas katilnya mungkin merasainya hanya beberapa hari, namun yang menjaganya telah melaluinya bertahun lamanya.
Allah mengatur segalanya dengan kehendak dan hikmah yang dalam banyak keadaan kita insan yang kerdil ini gagal memahaminya. Justeru Allah menceritakan tentang Ashabul Kahf yang tidur ratusan tahun tetapi dirasai hanya sehari atau separuh hari. Firman Allah : (maksudnya)
“Dan Demikianlah pula Kami (Allah) bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang antara mereka bertanya: “Berapa lama kamu tidur?” Mereka menjawab: “Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”. (Surah al-Kahf, 19).
Tiga ratus tahun hanya dirasai bagaikan sehari atau separuh hari. Ajaibnya masa!
Dalam ayat lain Allah menceritakan bagaimana seorang lelaki yang dimatikan Allah selama 100 tahun tapi merasainya bagaikan sehari. Firman Allah: (maksudnya)
“Atau (tidakkah engkau hairan) tentang seorang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, dia berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (semula) negeri ini sesudah matinya (binasanya)? ” Lalu Allah matikannya selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkannya semula lantas bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?”. Dia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”.Allah berfirman:” (tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (yang telah hancur), dan Kami (Allah) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan kami) bagi manusia”. (Surah al-Baqarah 259).
Demikian apabila manusia mati, konsep waktunya juga berbeza.
Sementara di akhirat manusia menjawab tentang masanya di bumi apabila ditanya:mereka menjawab: (maksudnya)
“Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari”
(Surah al-Mukminun 113).
Ya! masa di sana berbeza dengan masa di sini. Masa di syurga dan neraka berbeza dengan masa di dunia. Masa di barzakh berbeza dengan masa di dunia fana. Masa antara kita dengan jenerasi lepas berbeza. Bahkan masa antara kita juga tidak sama. Maha Suci Allah dengan kehebatan ciptaaanNYA!..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan