Rabu, 17 Julai 2013

HUKUM GRAVITI

Penjelasan Dr. Zaidan memang sangat mendalam. Maafkan saya kerana mengemukakan konsep yang tidak relevan dengan hukum fizik langsung kerana masih terdapat banyak contoh dalam alam semesta yang tidak mematuhi hukum fizik. Contohnya bagaimana hendak kita jelaskan perjalanan mikraj Nabi Muhammad dalam konteks fizik sedangkan dalam fizik tidak ada apa juapun jasad yang melebihi kelajuan cahaya.
Saya ingin bangkitkan manusia akan terpelanting ke angkasa lepas disebabkan bumi mempunyai velocity yang sangat tinggi, melebihi kelajuan peluru. Memang benar, jika bumi berhenti bergerak semua objek masih tetap berada di atas permukaan bumi tetapi saya yakin, andai bumi benar-benar berhenti dengan mengejut, kita tahu akan apa akibatnya.
Saya terbaca dengan firman Allah yang berbunyi: “Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang berkuasa di langit bahawa Dia akan menjungkir-balikkan Bumi bersama kamu, sehingga dengan tiba-tiba Bumi itu bergoncang?” – Surah Al Mulk ayat 16.
Jadi, natijah yang dapat saya fahami ialah, jika dengan kelajuan Bumi yang begitu laju di atas paksinya yang dengan tiba-tiba berhenti secara mengejut, adakah Bumi akan berubah paksi rotasinya (?) yang sekaligus akan menggoncangkannya (?) Saya ingin heret fakta geodesi (bukan fizik) yang mengatakan bahawa pergerakan Bumi di atas paksinya telah menyebabkan kepesekan (flattening) yang menyebabkan gempa bumi berlaku setiap ketika (setiap minit) sama ada kecil atau besar skala richternya.
Saya ingin huraian yang lebih tepat jika ada saintis fizik (temasuk Dr. Syed Yusainee) yang boleh menafsirkan ayat di atas kerana firman Allah menyebut sebegitu sudah tentu ia berkait rapat dengan tarikan graviti bumi.
Jika graviti adalah satu daya, bagaimana dengan penjelasan ini pula:
1. Graviti adalah satu gelombang (gravity wave)
2. Graviti adalah kelengkungan ruang-masa
Adakah benar pusingan bumi dan segala planet itu sendiri memang menghasilkan gelombang graviti, jika tidak kenapa dalam firman Allah di atas menyebut tentang jungkir-balikkan paksi Bumi? Adakah graviti Bumi memang berasal dari putaran paksinya sendiri? Adakah jika Bumi tidak berotasi dan juga tidak mengorbit matahari dan terlepas bebas di ruang angkasa, maka Bumi tidak akan mempunyai graviti lagi? Ini yang menjadi pertanyaan.
Persoalan ini telah timbul:-
Adakah kiamat berlaku kerana graviti tidak wujud lagi ketika itu? Bagaimanakah hukum fizik ciptaan saintis barat akan memahami persoalan begini? Kenapakah perlu setiap jasad yang berJISIM untuk mempunyai graviti? Kenapakah JISIM Alam Semesta yang kurang dari 1% akan mengembang semahunya? Adakah jika Alam Semesta mempunyai cukup JISIM (100%) maka ia tidak akan mengembang (expand)?
Saya menyebut perihal graviti kerana maksud perkataan falak itu sendiri. Dalam Surah Yasin menyebut falak sebagai orbit. Jikalau boleh, saya ingin saja menyebut ilmu falak itu satu ilmu yang turut mengkaji berkenaan graviti kerana falak atau putaran yang dimaksudkan dalam Al Quran itu turut wajar difahami sebagai graviti dengan tidak langsung. Oleh itu saya berpendapat, falak (putaran) menghasilkan graviti bukannya JISIM. Jisim menyumbang sebahagian kecil sahaja dari kesan graviti. Sebab itulah saya fahamkan ilmu falak telah diberikan takrifan sedemikian rupa hinggakan ayat Quran berulang-ulang menyebut berkenaan falak (disebut 2 kali) dan fulki yang disebut 23 kali (bahtera: bumi ini sendiri) berjumlah sebanyak 25 kali!! Saya telah diberitahu oleh seseorang bahawa makna 25 itu juga bermakna 25 jam sehari semalam yang kini telah menjadi 24 jam. Di suatu masa, bumi akan berpusing 23 jam atau kurang lagi dari itu. Jika demikian maknanya maksud Al Quran begitu, saya terpegun berfikir bahawa putaran (falak) itu sendiri memang merujuk kepada tarikan graviti.
Sekarang satu lagi persoalan yang tidak dapat dijawab dengan hukum fizik moden…. jika bulan pernah terbelah semasa zaman Nabi Muhammad, kenapakah bulan masih terlekat pada graviti bumi? Kenapakah tidak ia melayang bebas ke angkasa setelah terpisah dua? Jika JISIM menentukan GRAVITInya, dengan terbelahnya bulan menjadi dua bahagian, apakah berlaku terhadap gravitinya? Saya telah menjenguk banyak pendapat saintis barat berkenaan bulan terbelah. Semua mereka menyebut sebagai hoax dan pembohongan agama Islam.
Adakah kita masih perlu menurut teori saintis barat dalam banyak perkara? Teori big bang sahaja pun banyak yang bercelaru dan bercanggah antara satu sama lain.
Konsep graviti masih membingungkan kita semua tatkala pencarian besar-besaran terhadap gelombang graviti yang kukuh masih menemui jalan buntu. Jika gelombang graviti dapat ditemui dan dimajukan penyelidikannya, tentu akan wujud kenderaan anti-graviti dan pedang light-saber (yang menggunakan super-graviti).
Oleh itu bagaimanakah kita akan memahami:
1. Anti-graviti
2. Super-graviti
sepertimana yang dikhayalkan dalam fiksyen sains?
Di petik dari ZAWI @  Kepada falak-net yahoogroup.com
Copyright april 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan