TAK buat salah, buat pun salah. Serba tak kena jadinya hingga apa saja yang dibuat semuanya salah di mata isteri. Pakai baju warna terang, salah beli peralatan sistem audio kereta dek kerana minat pun salah.
Itu belum lagi mengambil kira detik suami pulang lewat – habis ditanya itu ini bagai pegawai polis penyiasat kes. Bayangkan, lelaki yang letih bekerja seharian tiba-tiba berdepan dengan situasi isteri membebel minta seribu macam penjelasan. Tentu boleh naik angin satu badan si suami bukan? Andai pada awal perkenalan hingga diijab kabul, ‘sindrom berleter’ si isteri hampir tidak dikesan atau jika adapun sekadar manja-manja, lain pula senarionya apabila rumah tangga makin meningkat.
Tidak hairanlah, kajian yang dikendalikan di London, baru-baru ini merekodkan, secara purata, seorang isteri menghabiskan masa hampir 6 hari dalam tempoh setahun semata-mata untuk berleter kepada suami mengenai pelbagai perkara terutama berkaitan urusan rumahtangga.
Menurut laporan itu yang dibaca di BH20/06/2010, mendapati isteri tidak merasa bersalah berleterterhadap suami mereka manakala si suami secara rahsia merasakan bahawa mereka sentiasa betul. Kajian yang membabitkan lebih 3,000 orang dijalankan oleh kumpulan kempen kesihatanEveryman. Golongan isteri dianggarkan menghabiskan kira-kira 7,920 minit setahun untuk berleterkepada suaminya mengenai rutin rumahtangga, tabiat minum dan kesihatan mereka. Ia bersamaan dengan dua jam setengah setiap minggu atau keseluruhan 11 jam sebulan atau hampir enam hari setahun… (Alaaa… Berleter 6 hari saja… setahun ada 365 hari, jika difikirkan mereka ada 359 hari yang aman tanpa leteran. Bersyukurlah )
Kajian itu merumuskan, perkara biasa yang dileteri wanita mengenai pasangan mereka adalah tidak membantu mengemas rumah. Aduan lain termasuk tidak membantu membersihkan pinggan mangkuk, terlalu banyak minum dan tidak mendapatkan rawatan doktor. Majoriti wanita tidak berasa malu suka berleter dengan 87% mengakui SUKAR untuk memastikan pasangan melakukan sesuatu. Manakala lelaki berkata, mereka tidak mengakui perkara itu dengan 83% merasakan mereka sentiasa betul. Walaupun berleter adalah satu perkara yang tidak disukai dalam satu perhubungan, strategi berkenaan kadang-kala dilihat lebih efektif, berdasarkan kepada kajian. Ini adalah keputusan kajian yang dilakukan di luar negara. Saya kurang pasti sama ada, ada atau tidak kajian sebegini di Malaysia.
Apakah benar memang lumrah wanita sentiasa berleter atau ada sebab mengapa golongan Hawa secara semula jadi suka membebel? Adakah faktor cemburu, cerewet atau memang tidak senang dengan perubahan dan sikap si suami yang dikhuatiri mengancam kebahagiaan rumahtangga? Tidakkah isteri terfikir bagaimana agaknya emosi suami berdepan dengan tekanan setiap hari? Bagaimana pula dengan maruah suami yang menahan bebelan isteri di hadapan anak-anak mahupun orang di sekeliling?
Rasa-rasanya, wanita bergelar isteri TIDAK MUNGKIN berleter tidak tentu fasal atau tanpa sebab yang munasabah. Cuba dengar apa butir ‘peluru’ yang dileterkannya? PERCAYALAH, suami yang tidak peka dan tidak perihatin dengan permasalahan rumahtangga memang mudah dan patut pula dileteri isteri. Setuju?
Saya mengandaikan, leteran mereka yang bergelar isteri, tidak kira di negara mereka berada, sedikit-sebanyak tentu ‘peluru leteran’ mereka bernada yang sama. Mari kita BACA semula alasan wanitaberleter dalam kajian Everyman. Antaranya :
- tidak membantu mengemas rumah
- tidak membantu membersihkan pinggan mangkuk
- terlalu banyak minum (saya fikir minuman alkohol, banyak ‘ngeteh’ tarik di mamak pun tak bagus juga, nanti *tut* senang diserang angin!)
- tidak mendapatkan rawatan doktor
Adakah leteran mengenai rutin rumahtangga, tabiat minum dan kesihatan mereka dianggap negatif? Mereka yang menganggapnya negatif mungkin saja jenis species yang tidak tahu pandai menghargai diri sendiri dan pasangan masing-masing… Boleh jadi juga mereka ini jenis yang lembab kerana ‘terpaksa disuruh, barulah hendak buat’. Sikap begini tidak berapa moleklah… ya, ibarat pahat yang suka sangat menunggu diketuk dengan tukul baru hendak masuk!
Suami mahu dengar bebelan tiga perkataan saja dan pilih lepak kedai mamak elak telinga bingit
Mengulas mengenai kecenderungan isteri kuat berleter terutama dalam konteks masyarakat tempatan, pakar motivasi dan psikologi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, berpendapat memang sudah lumrah semulajadi wanita yang memiliki paras hormon estrogen berlebihan lalu gemar meluahkan pendapat dan pandangan sehingga dilihat seolah-olah berleter. Sedangkan Mohd Fadzilah berkata, tujuan utama wanita terutama isteri berleter ialah untuk membuktikan kasih dan sayang kepada pasangan.
“Malah, sudah dibuktikan dalam kajian di mana kita melihat bagaimana wanita mampu melontarkan sehingga 30,000 kuota simbol dan kata-kata dalam sehari sedangkan lelaki hanya kira-kira 7,000 kuota yang sama. Ini didorong pembentukan otak wanita yang sentiasa aktif melakukan dua perkara serentak membuatkan mereka dilihat suka berkata-kata dan melakukan banyak perkara yang lelaki sendiri tidak lakukan,” katanya.
Ditanya apakah mungkin berlaku kesan psikologi kepada suami jika saban hari dileteri isteri, Mohd Fadzilah berkata, “Memang tidak dinafikan lelaki akan menganggapnya begitu. Apatah lagi memang sifat semula jadi lelaki tidak suka diingatkan berulang-ulang terutama apabila dipesan isteri. Tanyalah mana-mana lelaki dari budak kecil hingga kepada golongan tua. Mana ada yang suka diingatkan berulang-ulang lebih-lebih lagi oleh wanita. Sebab itu, saya cadangkan dimasukkan sekali modul hubungan komunikasi suami isteri kepada bakal pengantin ketika mereka menghadiri kursus pra perkahwinan. Ini dapat membantu meningkatkan kualiti hubungan kekeluargaan,” katanya yang memuji modul pra perkahwinan yang lebih menyeluruh diperkenalkan kepada bakal pengantin muslim di Singapura.
Mohd Fadzilah berkata, modul pra perkahwinan di Singapura meliputi lapan modul antara lainmenekankan aspek bimbingan sebelum berkahwin, ketika mendirikan rumahtangga, mendidik anak-anak sehingga hubungan komunikasi suami.“Saya tidak bermaksud yang kursus pra perkahwinan di Malaysia tidak baik. Namun, adalah lebih baik andai elemen komunikasi ditekankan supaya ikatan perkahwinan menjadi lebih bererti andai pasangan saling memahami. Elemen komunikasi ini bagaimanapun ditekankan dalam program yang dikendalikan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPLKN),” katanya yang sering diundang menyampaikan ceramah motivasi terutama dalam konteks hubungan suami isteri.
Menyentuh hal berkaitan keperibadian lelaki tatkala berdepan wanita yang suka berkata-kata, Mohd Fadzilah berkata, sudah menjadi lumrah lelaki kurang berasa selesa apabila sentiasa diingatkan dalam banyak perkara terutama sesuatu yang difikirkan tidak penting. Sehubungan itu, adalah penting untuk wanita terutama isteri memahami masa yang sesuai untuk menegur atau memberi pandangan kepada pasangan mereka.
“Jangan terkejut jika dikatakan lelaki sebenarnya hanya mahu mendengar tiga patah perkataan saja dan selebihnya dirasakan seolah-olah tidak perlu. Sebab itu, wanita perlu mencari waktu sesuai untuk menyampaikan mesej. Adalah penting bentuk komunikasi dipelajari antara kedua pihak. Ini kerana melalui hubungan komunikasi itulah resipi kejayaan dalam mengeratkan hubungan suami isteri,” katanya sambil menambah isteri boleh menegur suami asalkan kena pada tempat dan situasinya.
Ditanya soal tip suami menegur isteri yang suka membebel, menurut beliau, sebagai ketua keluarga,suami wajar memberi nasihat tetapi biarlah secara rasional dan tidak sehingga mengguris hati pasangan. Beliau menyarankan suami merenung faktor mengapa isteri berkeadaan sedemikian. Mohd Fadzilah berkata, budaya masyarakat yang tidak romantik antara sebab wanita sedikit tertekan. Ini kerana surirumah melakukan banyak benda termasuk memasak, menjaga anak-anak dan menguruskan rumahtangga.
“Saya percaya, jika hubungan komunikasi dan saling bertolak ansur dapat dibentuk, kebahagiaan suami isteri dapat dikecapi… Insya Allah,” katanya sambil berkongsi fakta bahtera perkahwinan yang dilayarinya kini sudah mencecah usia 33 tahun.
9 Tip elak leteran isteri
1. Respon Cuba dengar apa yang dileterkan oleh isteri anda. Buat sajalah atau respon cepat-cepat kepada perkara yang dileterkan isteri. Jika anda buat, sudah tentu isteri tiada bahan untuk dijadikan leteran.
2. Pendekatan diplomatik Andai isteri sedang berleter, anda guna pendekatan diplomatik untuk tidak menghangatkan lagi emosi si dia.
3. Beri penjelasan Berdiam diri bukanlah penyelesaian terbaik bagi mengurangkan leteran isteri. Sebaliknya adalah lebih baik anda berterus terang dan memberikan penjelasan yang boleh menyenangkan hati isteri.
4. Jangan main api Apabila isteri sudah berleter, anda pula janganlah membakar perasaannya untuk berkeras dan bergaduh. Gunakan pendekatan terbaik memperbaiki komunikasi dan menjaga hatinya.
5. Renung Muhasabah diri
Memang lelaki kuat egonya. Namun, tidak salah mengurangkan rasa ego dengan menilai kembali sikap diri sendiri. Anda mungkin bersikap pemalas dan tidak mengambil berat hingga menjadi punca isteri berleter.
6. Bantu isteri Tidak jatuh standard dan maruah anda sebagai lelaki jika saling membantu isteri menguruskan rumahtangga. Menguruskan rumahtangga BUKAN tanggungjawab mutlak isteri. Ingat tu !Adalah satu bonus dan besar pahalanya bagi isteri yang relahati melakukan kerja-kerja rumahtangga. Jika Isnin hingga Jumaat isteri yang memasak, apa kata hujung minggu anda pula ke dapur?
7. Duduk berbincang Kurang komunikasi antara sebab mengapa masalah berleter menjadi semakin genting. Rasanya, mungkin ada baiknya jika suami isteri duduk berbincang antara empat mata bagi menyelidik masalah sebenar yang dihadapi.
8. Hangatkan kembali hubungan
Suami menyedari ‘sindrom’ berleter hampir tidak berlaku ketika awal percintaan, namun tahukah lelaki mengapa wanita membebel? Jawapannya ialah suami sudah kurang memberi perhatian dan terhakis sifat gentlemen.
9. Alat bantuan Hemm… masih tidak berkesan? Ubat penahan leteran paling mujarab? Atau anda boleh dapatkan ‘ear plug’ dari farmasi berdekatan dengan rumah anda. Semoga dijadikan teladan. Renung-renungkan!
nota : hurmm,. okey, honey..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan