KASIHAN DSAI DAN KAK WAN
Kasihan melihat susuk tubuh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kelihatan cengkung ketika gambarnya terpapar di media sosial sewaktu melawat jenazah bapanya kelmarin.
Lebih terharu melihat kesedihan Datin Seri Wan Azizah, Nurul Izzah dan anak cucu DSAI yang lain sewaktu suasana pertemuan mereka dirakam. Dalam sesi dipan-dipan usai majlis tahlil untuk 4 Allahyarham saudara kita semalam, kami kongsikan apa sahaja pelajaran yang dikutip dari kisah-kisah mereka yang pergi itu.
Artikel ini merujuk khusus kepada keluarga DSAI. Sebagai insan yang ada perasaan bohonglah jika hati kita tidak terjentik untuk turut merasai apa yang sedang mereka alami.
Sebagai anak, dapat kita rasa betapa sedihnya hati tidak dapat turun tangan merawat ayah yang sakit sampai matinya. Begitu juga kematian ibunya sebelum ini. Kedua-duanya 'pergi' ketika DSAI dalam penjara.
Sebagai anak, bohonglah jika kita tidak dapat merasai apa yang Nurul Izzah dan anak-anak DSAI lainnya rasakan.
Sebagai isteri, bohonglah jika kita tidak terasa apa yang Kak Wan deritai selama ini, sebanyak mana kesulitan yang beliau alami selama DSAI di penjarakan, terutama di usia sebegini.
Jika kita melihat kisah DSAI ini sebagai seorang ‘pemain’ politik, maka kita akan membuat tanggapan yang berbagai.
Musuh politik akan kata padan muka DSAI. Duduk di luar nanti kamu hanya akan merosak mukabumi, memburuk-burukkan negara sendiri di dunia luar, menghasut anak muda membenci pemimpin, berdemo, merusuh dan melalak di sana sini, mengganggu ketenteraman negara.
Rakan politik pula akan kata cilaka Najib, cilaka hakim, cilaka PDRM, cilaka penjara dan entah apa-apa lagi. Berbagai sumpah seranah keluar dari mulut masing-masing. Naik nak muntah kita dengar sumpah seranah yang tidak berkesudahan ini.
Kami hanya ingin menimbang pelajaran dari kisah ini dari matahati marhaen yang tidak berkepentingan. Soal kejahatan Anwar dan kepentingan politik di sebalik kisah ini biarlah masing-masing timbang sendiri.
HIKMAH TERSEMBUNYI DI SEBALIK UJIAN
Dalam banyak-banyak hikmah yang kita mungkin kurang arif selain hanya diketahui Allah, kami ingin rujuk kepada isu membaca quran. Hanya sebulan dua di penjara, DSAI diberitakan telah khatam quran dua kali.
Ini hikmah besar kerana jika DSAI di luar, belum tentu ini boleh terjadi kerana saban hari beliau sibuk berkempen dan berprogram.
Ramai juga yang curiga; entah betul entah tidak DSAI khatam 2 kali… kalau betulpun untuk apa dia beritahu orang? Ada juga yang mencemuh kononnya khatam tanpa faham buat apa? Dan entah apa-apa lagi cemuhan yang memang menjadi kehebatan ‘orang kita’ sekarang.
Bagi kami orang seperti DSAI tentu tahu mencari quran terjemah untuk mencari pelajaran dari apa yang dia baca. Mungkin ada insan terdekat dengan DSAI atau penjaga penjara yang mendapat tahu secara tidak sengaja beliau khatam 2 kali dalam penjara. Mungkin mereka ini yang kongsikan berita kepada orang ramai. Mungkin juga secara tidak sengaja. Bersangka baik sajalah kita.
Sebagai anak, kita mungkin kasihan melihat DSAI dan Almarhum ayah ibunya. Namun dengan kisah di atas, kami melihat alangkah untungnya ibubapa beliau. DSAI tentunya tidak diganggu di penjara dan boleh mentelaah wahyu dan bermunajat dengan selesa dan tenang.
InsyaAllah ketenangan beliau beribadat di penjara akan menjadikan beliau anak yang lebih soleh. Ini boleh menjadi ‘bekalan tambahan’ kepada kedua orang tuanya yang pulang ke Rahmatullah… InsyaAllah.
Orang lain yang sedang bebas meratah wang dan makanan di luar sedang menderita dengan pelbagai penyakit disebabkan obesiti. Perut masing-masing membuncit, lemak bertakung dan sendi-sendi sedang kesakitan. Pengidap darah tinggi, kencing manis, pelbagai jenis kanser yang pelik-pelik, jantung tersumbat, kepala migrain dan entah apa apa lagi cukup ramai.
Alhamdulillah tubuh DSAI yang sebelum ini sudah mulai naik sudah kelihatan slim. Memang itu dilihat terjadi agak mendadak disebabkan gangguan mental pada bulan-bulan awal setelah dimasukkan semula ke penjara. InsyaAllah kita doakan DSAI sihat dan mendekatkan diri kepada Allah dengan tenang.
KESIMPULAN - ALLAH MAHA ADIL, PENGASIH DAN BIJAKSANA
Kadangkala hati kita gundah gulana dan terdetik juga untuk mengatakan Allah tidak adil dengan pelbagai ujian terhadap kita. Untuk mengelakkan habit prejudis itu, ingin kami tutup coretan ini dengan memetik riwayat ringkas berikut. Semuga ia mampu memahamkan kita tentang kebaikan Allah terhadap kita.
Seorang pembantu raja selalu berkata kepadanya, "Tuanku jangan kecewa kerana Allah itu baik dan apa yang Allah lakukan adalah sempurna, tiada kesilapan".
Pada suatu hari, mereka pergi memburu dan haiwan buas telah menyerang raja. Pembantu Raja itu berjaya membunuh haiwan itu tetapi tidak dapat menyelamatkan satu jari baginda lalu dimarahi tanpa rasa berterima kasih. Raja berkata, “Jika Tuhan baik saya tidak akan diserang dan hilang satu jari”.
Hamba itu tetap menjawab, “Walaupun semua ini terjadi, saya tetap katakan Allah itu baik dan tidak pernah salah. Semua yang Dia aturkan adalah sempurna”. Raja yang marah dengan jawapan itu terus memerintahkan supaya pembantunya dipenjarakan.
Selepas itu Raja pergi berburu sendirian tanpa pembantu lalu telah ditangkap oleh orang asli yang mencari manusia untuk di korbankan. Tiba-tiba didapati raja tidak mempunyai satu jari lalu dibebaskan kerana dianggap tubuhnya “tidak lengkap" sebagai korban. Raja amat bersyukur lalu berkata dalam hatinya, “Allah memang amat baik untuk saya”.
Sekembalinya ke istana, Raja terus memerintahkan supaya hambanya dibebaskan dan berkata, “Tetapi saya muyskil. Jika Tuhan begitu baik, mengapa Dia membenarkan saya penjarakan kamu?
Hambanya menjawab, “Jika saya tidak dipenjarakan, tentu saya akan pergi dengan Tuanku dan akan dikorbankan, kerana saya tidak mempunyai jari yang hilang”. Raja bersetuju dan amat gembira.
INGATLAH, YAKINLAH…
Semua yang Allah izinkan terjadi itu adalah baik dan sempurna, Dia tidak pernah salah. Sentiasalah bersangka baik dan jadikan musibah dan ujian sebagai satu sarana untuk memandaikan kita sepertimana anak sekolah juga.
QS: 2. Al Baqarah 214. Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.
QS: 3. Ali 'Imran 142. Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal BELUM NYATA bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang-orang yang SABAR.
Oleh itu, untuk keluarga DSAI dan kita-kita yang sedang menerima ujian, janganlah suka mengeluh dan merasa tertekan. Pemikiran negatif itu akan membunuh kuasa positif dalam diri kita dan ia amat merugikan.
Allah juga mengetahui mengapa dia memilih anda untuk membaca artikel ini... Kerana ALLAH ITU BAIK DAN SEMPURNA...
Allah itu baik dan sempurna !!!
SUBHANALLAH… ALHAMDULILLAH… ALLAHUAKBAR
Warga Prihatin
SUBHANALLAH… ALHAMDULILLAH… ALLAHUAKBAR
di petik dari facebook . kredit .Warga Prihatin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan