Rabu, 19 Ogos 2015

PROJEK PENGELUARAN PASIR BAKAL MELENYAKKAN INDUSTRI IKAN PATIN.HARUSKAH SAYA MENGALAH?...KHAIDIR AHMAD


HARUSKAH SAYA MENGALAH DAN MEMBIARKAN RAKYAT TERANIAYA?
Selepas isu pam pasir di kampung saya "senyap" seketika susulan campur tangan pihak Kerajaan Negeri dan Istana, tiba-tiba saya dipanggil menghadiri sesi perbincangan bagi meneruskan operasi pam pasir di Kg. Tebing Tinggi, Lebak, Temerloh, Pahang. Persoalan timbul apabila Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh mendesak saya supaya mengalihkan sangkar ternakan ikan Patin saya ke tempat lain, semata-mata untuk memberi laluan kepada operasi pam pasir berkenaan, yang sebelum ini ditangguhkan oleh Kerajaan Negeri Pahang berikutan bantahan daripada penduduk tempatan, penternak ikan sangkar dan nelayan sungai kerana ia bakal memberi ancaman kepada kehidupan mereka selain dikhuathiri boleh membahayakan pengguna Jalan Temerloh-Bera-Triang kerana ia adalah projek pam pasir pertama menggunakan kaedah saluran paip pasir merentasi di bawah jalanraya utama yang sentiasa sesak dengan kenderaan berat.
Malah, belum lagi ia beroperasi, pembetung yang dibina bagi saluran paip pam pasir ini sudah menyebabkan runtuhan tebing Sungai Pahang yang serius ketika banjir akhir tahun lalu. Projek pam pasir yang bakal diusahakan secara "ali baba" oleh bukan Islam ini juga adalah yang pertama membabitkan sebahagian Tanah Perkuburan Islam. Yang menghairankan, pihak Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh terus terang menyatakan mereka tidak perlu mempedulikan bantahan majoriti penduduk Mukim Lebak dan kesan projek ini kepada rakyat termasuk dari segi pencemaran bunyi dan air sungai yang akan menjejaskan industri ternakan ikan Patin dalam sangkar dan kegiatan nelayan sungai di kawasan sekitarnya. Bagi mereka, yang penting lesen pam pasir itu sudah mereka luluskan tanpa halangan daripada jabatan berkaitan seperti JKR, JPS serta JAS dan ia perlu beroperasi segera! Sejak isu pam pasir ini timbul pada awal tahun 2014 lagi, saya telah memberi sepenuh komitmen untuk menjayakan bantahan majoriti penduduk Mukim Lebak yang menentang operasi projek ini. Saya sanggup berkorban apa sahaja termasuk harta dan jiwa raga demi perjuangan untuk alam sekitar dan kebaikan rakyat marhaen. Apa pandangan sahabat dalam perkara ini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan