Sabtu, 22 Ogos 2015

20 KM BERJALAN KAKI KE SEKOLAH...Perkongsian dengan Warga Prihatin






Dari Kampung Paya Besar, beliau menyusur jalan balak dari rumah di hujung desa terpencil, jalan tanah merah berdebu dan selut, meredah 12 bukit dan paya merentasi 2 desa dan belukar estate getah tua dan kelapa sawit muda sejauh 20 km berjalan kaki dan basikal setiap hari SEJAK DARJAH 1 merupakan pengalaman yang tidak dapat digambarkan. 


Harus bertolak gelap pagi dan pulang meredah terik mentari petang seorang diri. Kadang kala terpaksa mengharungi hujan ribut sendirian. Minum air parit dan sungai menjadi biasa baginya buat penghilang dahaga. Beberapa anak sekampung yang sebaya ke sekolah naik kereta sewa atau tidak ke sekolah sama sekali. Dari tingkatan 1-3, beliau terpaksa mengayuh basikal sekitar 45 km setiap hari, berulang alik ke bandar (Sek Menengah), balik ke rumah dan ulang semula perjalanan ke sekolah Agama di Kg Melayu Raya.

Dari 10 pelajar yang mendapat grade 1 SPM 1979, 8 pelajar CINA, 2 pelajar MELAYU dan beliau adalah SEORANG DARIPADANYA. Dari 10 adik beradik, juga tidak sampai 10 rakan sebaya dari kampung terpencil itu, beliau adalah satu-satunya insan yang berjaya melangkah ke Universiti dan menempa kejayaan selanjutnya bagi membela insan lain. 

Setelah 2 tahun makan gaji, beliau menubuhkan syarikat, menjalankan perniagaan & menjelajah ke serata dunia dengan kepakaran yang ada untuk membela adik beradik yang tidak ke Universiti agar semua dapat merasai kejayaan beliau. Kini adik beradiknya hidup senang dan beliau mengabdi diri, mewakafkan segala hasil kesenangan yang beliau capai dan menjadi buruh sukarela tanpa gaji di RPWP. 

Anak-anak RPWP telah dibawa menziarahi kampung halaman beliau dan masing-masing ingin mencuba berjalan kaki menusuri laluan perjalanan beliau ke Sekolah Rendah Kg Melayu Raya, namun hanya mampu mencuba setakat 20% jarak perjalanan saja. Bakinya harus diteruskan dengan kenderaan. Begitulah gambaran keperitan yang dilaluinya. 

Itulah pengalaman getir kehidupan yang dilalui oleh pengasas RPWP, Dr Hj Masjuki Mohd Musuri. Sejak kecil melawan ujian hidup. Bapanya bilal kampung, guru silat, kompang, berzanji dan al-Quran, seorang peneroka tanah, penebang hutan. Ibunya seorang bidan Kampung yang cekal dan pemurah, banyak mengambil anak angkat dari kalangan asnaf, juga bilal wanita dan guru al-Quran. Rumah kayu bertanggam, tiang kayu bulat dan tanah liat, lantai kayu belah, dinding kulit kayu, atap rumbia. Untuk makan harus cucuk tanam dulu, ikan tangkap di tengah paya, buah petik di hutan, belajar dengan pelita minyak tiada letrik, mandi dan minum air telaga berlumut, tiada air paip. 

Terlalu banyak untuk dikongsikan. Mungkin sebahgian foto ini mampu meneruskan penceritaan. Namun buktinya kejayaan beliau mengharungi kepayahan itu menjadikan beliau insan yang sangat prihatin, kreatif, berani, mandiri dan tidak gusar berhadapan dengan kesusahan. Lebih penting lagi, pengalaman itu mampu di jadikan motivasi kepada anak-anak di RPWP, agar TIDAK MUDAH MENGALAH dan merasa lemah mengharungi kehidupan yang penuh dengan pelbagai pancaroba. Pengalaman itu jugalah yang memberi kekuatan dan inspirasi kepada kesemua pengasas bersama RPWP ini.

Perkongsian oleh
WARGA PRIHATIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan