Sabtu, 27 Jun 2015

HABIT ‘AH’ PARA ISTERI YANG MERUNTUHKAN SYURGA RUMAHTANGGA

HABIT ‘AH’ PARA ISTERI YANG MERUNTUHKAN SYURGA RUMAHTANGGA
Terlalu ramai mesej dari para isteri yang mengadu tidak puas hati dengan suami masing-masing. Habis diceritakan segala keburukan suami sebagai alasan yang membenarkan ia untuk diderhakai.
Kami cuba menyelami perasaan dan permasalahan mereka dengan tenang sebelum memberikan ulasan dan nasihat dengan basmalah.
QS: 58. Al Mujaadilah (Wanita Yang Mengajukan Gugatan Terhadap Suami)
1. Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang mengajukan gugatan kepada kamu tentang suaminya, dan mengadukan (halnya) kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat
10. Sesungguhnya pembicaraan rahsia itu adalah dari syaitan, supaya orang-orang yang beriman itu berduka cita, sedang pembicaraan itu tiadalah memberi mudharat sedikitpun kepada mereka, kecuali dengan izin Allah dan kepada Allah-lah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal.
Allah haramkan anak-anak berkata ‘ah’ kepada ibubapa atau kepada wali / murobbi secara umumnya. Malangnya ada pula isteri yang turut menyalahkan ibu bapa suami lalu mereka juga diderhakai. Lebih teruk lagi bila ada yang terang-terang mengatakan “Allah tidak adil” terhadapnya dengan segala ujian hidup berumahtangga yang dialaminya.
Artikel pendek ini tidak untuk membela para suami yang togho seperti Fir’aun untuk dipatuhi oleh sang isteri. Asiah isteri Fir’aun yang Allah nukilkan sebagai isteri contoh dan ditelahkan sebagai salah seorang penghulu syurga oleh Rasulullah SAW juga dibolehkan mengingkari suaminya yang togho itu.
HABIT MEMBANTAH OLEH PARA ISTERI
Isu yang ingin kami ketengahkan di sini ialah sifat togho dan nusyuz isteri itu sendiri. Tanpa disedari apa yang diceritakan turut menampakkan sifat togho dirinya yang tidak melayakkan beliau mendurhakai suaminya.
Antara yang dapat dikesan ialah penceritaan tentang kelemahan suami yang agak keterlaluan. Keluarga suami turut dicerca. Ada yang memanggil suami hanya dengan panggilan “nama” atau “awak” sahaja, bukan dengan panggilan 'abang' atau seumpamanya. Padahal anak-anak sudah pun meningkat remaja. Yang lebih ketara lagi ialah tabiat nusyuz isteri yang sering bebas keluar rumah tanpa izin suami.
Sebahagian lain malah suka men’talak’, atau membiar / mengabaikan suaminya (pinjam loghat Johor). Maksudnya apabila berselisih faham atau ditegur sahaja, dia akan memboikot suaminya dengan tidak melakukan khidmat yang biasa darinya seperti menyajikan makanan, menyediakan pakaian dan sebagainya.
Seharusnya seorang isteri itu bersyukur jika suami sudi menegur dan menasihatinya lalu bersegera meminta maaf. Apa yang sering terjadi adalah sebaliknya. Isteri yang seharusnya belajar tanpa henti untuk menghiasi hidup suami dan keluarganya bukan sahaja tidak berusaha membuat islah, malah memboikot suami apabila ditegur. Sudahlah tidak mencuba mencari ilmu dan kaedah untuk mempersiapkan diri sebagai isteri solehah, bahkan tidak bersyukur dan memboikot suami pula apabila ditegur.
Sebenarnya sifat "kepala batu" isteri yang susah mengakui kelemahan diri dan segera meminta maaf ini menjadi penyebab utama keruntuhan syurga rumahtangga. Inilah satu habit luarbiasa yang sudah menjadi amalan biasa bagi para isteri. Bibit derhaka sudah tertanam sejak awal pernikahan lagi.
QS: 66. At Tahrim 6. Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.
QS:2. Al Baqarah 24. Maka jika kamu tidak dapat membuat - dan pasti kamu tidak akan dapat membuat(nya), peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir.
Aturan Allah itulah satu-satunya pilihan kaedah penciptaan syurga yang ada untuk kita. Jika kita masih ingin mengikut aturan sendiri, atau keras kepala (membatu), maka sifat "kepala batu" itu yang akan menjadi punca pergeseran yang berapi-api tanpa henti. Maka selama hidup kita akan berada dalam sengsara api neraka dalam rumah sendiri.
KESIMPULAN
Dalam memperkemaskan akidah dan disiplin warga, maka kami sentiasa menyeru agar Allah, Rasul dan Ulil-amri / Murobbi itu benar-benar didaulatkan melalui ketaatan tidak berbelah bagi (QS:4/59).
Pada skop keluarga pula, perintah Allah bahawa "lelaki itu adalah pemimpin wanita" menjadi tiang seri kepada pembinaan kerukunan dan syurga rumahtangga yang utuh. (QS:4/34)
Allah harus benar-benar dan sentiasa bertahta sebagai RAJA di hati segenap warga (Maalikiyaumiddin. Iyyaka na'bud waiyyaka nasta'in). Setiap perintah Allah yang telah ditunjukkan dengan jelas oleh para rasul, yang diamanahkan melalui para murobbi / ulil-amri wajib dipatuhi oleh setiap diri tanpa soal. Titah perintah Allah dalam alquran itu menjadi kayu ukur yang perlu dipatuhi.
Pantang sama sekali mana-mana warga yang mengaku beriman berkata ‘AH’ termasuk melalui aksi badan (body language) yang seumpamanya terhadap murobbi masing-masing. Setiap isteri harus mendaulatkan suaminya, tidak boleh ‘sedikitpun’ membantah para suami. Demikian juga anak-anak terhadap ibubapa dan murid terhadap gurunya.
Barang siapa ada bibit ‘ah’ terhadap Allah dan RasulNya, samada kerana tidak puashati dengan qada’ dan qadar diri, atau memperlekehkan titah perintahNya, maka syiriklah ia dan terbatallah syahadahnya. Jika Allah dan Nabi SAW tetapkan redha Allah terletak pada redha suami / ayah, maka setiap anak dan isteri juga tertakluk kepada syarat yang sama. Kerana itulah Allah larang ‘ah’ kepada ibubapa.
Kami juga panjangkan titah perintah Allah dan rasul itu kepada setiap murobbi/ah. Seorang anak harus patuh kepada walinya. Isteri harus patuh kepada suaminya. Kaum bapa pula harus patuh dan taat kepada ulil-amrinya. Mata rantai ini penting kerana kita tidak akan mampu memperbaiki akhlak anak-anak selagi akhlak para murobbi/ah tidak ditangani dengan sempurna.
Pada masa yang sama, para murobbi/ah juga sentiasa dibimbing agar memahami dengan jelas serta mematuhi semua arahan Allah dan rasul bagi melayakkan dirinya dipatuhi. Kerana itu tidak pernah berlaku perkelahian atau cabar mencabar dalam syuro RPWP seperti yang kita sering lihat suasana pasar ikan di parlimen. Ini kerana semua ahli akan mematuhi ulil-amri / pengerusinya sesuai dengan perintah Allah.
QS: 58/11. Hai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
DARI FB WARGA PRIHATIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan