Menteri yang sepandai ijazah sarjana kelas pertama dan CGPA melebihi 3.85 juga masih keliru dengan keputusan yang dibuat oleh boss mereka. Boss pula keliru membuat keputusan itu kerana hanya meyakini pasukan penasihat-penasihat yang datang dari universiti terbaik, sarjana luar negara yang hanya mampu merancang indah di atas kertas sahaja.
Jika ilmu dianalogikan sebagai biji benih, maka walaupun kita belajar di Havard mahupun Oxford, benih Malaysia juga yang tetap sesuai di Malaysia. Bawalah benih epal di Havard dan tanam mengikut buku Mat Saleh di Batucaves.. tetap tidak jadi apa-apa.
Yang terbaik ialah kita memimpin masyarakat kita secara nyata di bumi sendiri menggunakan ilmu yang sesuai dengan agama, sosiobudaya dan sosioekonomi kita. Gunakanlah ilmu hasil cambahan yang Allah beri dari Al-Quran dan Sunnah milik kita.
Amalan mengagung-agungkan seluruh ilmu barat sehingga kita kehilangan jatidiri dan keupayaan mengurus diri, masyarakat dan negara sendiri amat mendukacitakan sekarang ini.
Atas permintaan ramai yang ingin tahu isi ceramah ekoran artikel DILEMA SARJANA ISLAM DALAM PENJAJAHAN ILMU pagi tadi, maka kami cuba ceritakan sedikit apa sebenarnya isi ceramah Saiful Nang minggu lalu.
Minggu lepas, Saiful Nang bercakap di pentas sebuah perkongsian perlaksanaan RPWP bersama sarjana-sarjana ekonomi dan perniagaan tempatan dan antarabangsa dan kami mengikutinya melalui LIVE streaming. Beliau membentangkan tentang “Sustainable Community Model” menggunakan model RPWP itu sendiri. Di situ, audien melihat satu ekosistem lengkap antara pembinaan insaniah (Ubudiah), perundangan (Rububiah) dan komuniti setempat (Mulkiah) pada komuniti berskala kecil RPWP, iaitu hanya 230 orang.
Dekan fakulti OYAGSB UUM, melihat ekosistem dalam skala kecil ini boleh di upscale ke peringkat negara dan antarabangsa. Dengan itu, beliau berazam untuk mengusahakannya atas nama UUM supaya perkongsian diangkat ke peringkat forum antarbangsa di kalangan negara-negara Islam sedunia.
Dekan fakulti OYAGSB UUM, melihat ekosistem dalam skala kecil ini boleh di upscale ke peringkat negara dan antarabangsa. Dengan itu, beliau berazam untuk mengusahakannya atas nama UUM supaya perkongsian diangkat ke peringkat forum antarbangsa di kalangan negara-negara Islam sedunia.
Pada orang biasa, RPWP ialah tempat penempatan anak-anak yatim dan asnaf. Namun pada kami ia sebuah tempat di mana kami bina semula komunitinya dalam sistem yang boleh dibesarkan skalanya kepada peringkat kampung, daerah, negeri, negara dan dunia menurut acuan alQuran dan Sunnah.
Pada mulanya bukanlah semua 20 pengasas RPWP itu orang yang sempurna. Masing-masing menyedari kelemahan diri dan keluarga masing-masing. Rasa saling memerlukan terbit lalu setiap diri dibentuk dengan kefahaman dan perlaksanaan Quran dan Sunnah (bukan sekadar menghafal atau membaca sebagai mentera semata-mata). Akhirnya 20 orang ini mampu disatukan dan sifat buruk yang lama mampu dikikis sedikit demi sedikit.
Begitu juga halnya dengan anak yatim dan asnaf jagaan kami. Kebanyakan mereka diserahkan dalam keadaan bermasalah. Semasa kecil dan comel mereka dipelihara dan dimanjakan oleh keluarga angkat mereka. Setelah besar dan hilang comelnya, mulalah timbul pelbagai gejala dalam diri mereka ini, lalu diserahkan kepada kami untuk dipulihkan. Ramai juga yang telah berpindah randah dari satu pusat jagaan ke pusat yang lain sebelum sampai ke RPWP.
PENERAPAN KONSEP EKONOMI KELUARGA DALAM TADBIR EKONOMI NEGARA
Kami percaya bahawa dengan kehebatan Al-Quran, Yathrib dapat dibina semula menjadi Madinah dan berkembang menjadi tamadun dunia sehinggalah ke Kerajaan Ottoman di Turkey.
Dengan kehebatan alQuran dan Sunnah itu jugalah anak-anak yatim dan juga para pengasas yang membawa pelbagai belang dalam sejarah hidup mereka itu mampu digembeling untuk membentuk sebuah sampel komuniti yang sejahtera. Kami juga yakin dengan kejayaan terhadap prototaip komuniti yang berskala kecil ini, ianya boleh dikembangkan kepada skala yang lebih besar.
Sebuah keluarga adalah sistem asas ekosistem bagi sebuah komuniti. Di dalamnya ada pemimpin, ada pendidik, dan ada anak-anaknya. Bukankah itu sama seperti sistem sebuah negara?
Peringkat awal dahulu, overhead pengoperasian RPWP adalah sekitar RM15,000 sebulan. Ia ditanggung 100% dengan wang gaji dan pendapatan 20 orang pengasas RPWP tanpa meminta dan menerima sumbangan orang ramai. Setiap diri terpaksa berpuasa, berjimat cermat untuk berinfaq.
Apabila jumlah anak-anak semakin bertambah, maka perbelanjaan juga bertambah. Akhirnya kami mulakan sebuah perniagaan untuk mengembangkan dana yang ada di tangan. Tanpa menggunakan wang derma atau pinjaman bank, kami mulakan Wakaf Enterprise berupa perniagaan kereta terpakai. Bermodalkan 4 buah kereta yang diwakafkan oleh para pengasas, dalam 1 tahun, stok kereta berkembang menjadi 300 buah keseluruhannya.
Di situ timbul satu sinergi. Semua warga terlibat dan berniaga bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk mengisi tabung anak-anak yatim dan asnaf sehingga syarikat wakaf ini mampu berkembang.
Anak-anak kami turut mempelajari budaya niaga dan berpuasa itu kerana mereka telah bersama kami sejak mula. Latihan mereka sama seperti anak cina yang ke sekolah di pagi hari dan petangnya membantu keluarga di kedai atau bengkel. Walaupun mereka mungkin tidak berjaya masuk ke universiti, mereka tetap mampu menjadi usahawan yang baik kesan dari pendidikan 'insitu'.
Anak-anak memang tidak belajar tentang jargon ekonomi tahap tinggi contohnya istilah seperti import, eksport, defisit, surplus dan lain-lain espek ekonomi. Subjek ekonomi yang mereka hafal di sekolah tidak begitu jelas menampakkan apakah kesannya pada dunia sebenar. Selepas lulus peperiksaan dan dapat banyak A, mereka segera melupakannya. Di RPWP, mereka mempelajari kesemua itu secara realistik.
Contohnya, dalam komuniti 230 orang dan dengan purata overhead RM700 seorang, maka kami perlu belanjakan RM161,000 setiap bulan. Itu terlalu tinggi buat kami. Justeru selain dari langkah berjimat cermat, kami harus laksanakan langkah tambahan.
Oleh kerana kebanyakan bajet pergi pada kos pendidikan, maka kami adakan sekolah sendiri agar bajet itu dapat dikurangkan. Dengan adanya prasarana dewan dan kelas di bangunan yang disewa, kami juga boleh sewakan dewan kepada pihak ketiga untuk tujuan seminar atau mesyuarat. Kami sendiri turut mengadakan kursus kepimpinan, motivasi keluarga, pelbagai kelas kemahiran seperti seni fotografi, melukis, jahitan dan sebagainya.
Bajet bulanan barang pasar mentah basah juga tidak kurang RM30,000 sebulan. Oleh itu, kami juga usahakan pertanian untuk menampung bekalan makanan.
Keperluan pengangkutan turut memakan bajet yang besar. Oleh itu perniagaan kenderaan kami lengkapkan juga dengan kerja-kerja bengkel membaiki injin, tayar, aircond, NGV, kerja mengecat, towing dan sebagainya. Semua kerosakan dapat kami baiki sendiri. Dari situlah berbelas-belas kenderaan terpakai, termasuk 4 buah bas untuk kegunaan sendiri mampu kami baikpulih. Bengkel sendiri ini banyak mengurangkan kos belian dan senggaraan. Sekali sekala kami juga ambil projek luar untuk menjana pendapatan.
Alhamdulillah, dengan kerelaan para sukarelawan sepenuh masa dari kalangan pengasas-pengasas dan anak-isteri mereka yang tidak mengambil gaji dan upah, kami berjaya mengurangkan perbelanjaan bulanan serendah RM120,000 sebulan.
KESAN PENDIDIKAN KEPADA ANAK GENERASI
Semua konsep pengurusan ekonomi seperti di atas itu juga ada kesan pendidikan yang amat baik kepada murobbi dan anak-anak RPWP.
Anak-anak tidak perlu menghafal apa itu import dan apa itu export. Dalam penghasilan makanan contohnya, lebihan sayur yang dijual di pasar adalah konsep export. Jika apa yang kami tanam kurang mencukupi maka kami terpaksa beli pula dari pasar, maka itulah konsep import.
Begitulah juga dari aspek ekonomi pada olahan perniagaan kenderaan, institusi pendidikan, tenaga pengajar, bengkel jahitan dan sebagainya. Anak-anak RPWP tidak perlu menghafal buku ekonomi namun mereka mampu memahami konsep impot dan ekspot pada skala kecil secara alami. Mereka tidak perlu pun menghafalnya kerana telah mengalaminya sendiri sepanjang masa.
Anak-anak juga tahu keperluan perbelanjaan sepatutnya ialah RM161,000 sebulan. Dengan peruntukan hanya RM120,000 sebulan bermakna itu akan menyebabkan DEFISIT. Sekiranya kami dapat jimatkan belanja kurang dari RM120,000 pula, maka itu dipanggil SURPLUS. Jika PERUNTUKAN yang disediakan sama dengan BELANJA barulah nak dikatakan itu BAJET BERIMBANG.
Apabila kita melaluinya sendiri, maka ekonomi bukanlah satu mimpi ngeri kepada anak-anak. Begitu juga dalam banyak hal-hal lain termasuk espek sosial, pengurusan, kebajikan penghuni, pendidikan dan sebagainya. Semua ini kami tadbir dari skala yang kecil yang mana skalanya boleh dikembangkan.
Mutakhir ini beberapa NGO dan syarikat telah datang untuk mendapatkan rujukan tentang model pentadbiran ekonomi RPWP yang mapan dan 'sustainable' walaupun tanpa ada bantuan kerajaan. Konsep puasa, zakat dan sistem pendanaan Wakaf Enterprise tanpa riba’ adalah antara yang menjadi tumpuan mereka.
Sudah 10 tahun kami menjalankannya konsep ini. Secara automatik, Wakaf Enterprise ini juga menjadi wadah anak-anak kami yang sudah dewasa untuk memulakan usahaniaganya tanpa hutang dan riba'. Aktiviti itu juga memberi peluang pekerjaan kepada adik-adik mereka pada masa hadapan.
KESIMPULAN
Model ekonomi Islam sebenarnya mendahulukan keperluan domestik terlebih dahulu berbanding mengejar hasil dari eksport. Jika berlebih baru dieksport. Islam juga mengutamakan konsep puasa dan berjimat cermat dalam mengatasi DEFISIT berbanding kutipan cukai yang berlebihan. Pembangunan biarlah selari dengan kemampuan, jangan ikut nafsu sampai berhutang dan tidak berimbang.
Salah seorang Doktor falsafah yang turut hadir dalam ceramah tentang ‘Sustainable Community Model’ ini mengulas, “Jika sebuah negara dapat ditadbir dengan membesarkan skala ini, pasti negara tidak akan kucar kacir ekonominya, bahkan tidak perlu GST pun”.
Ini bukan model ciptaan kami, tetapi ia adalah sistem ciptaan Allah yang telah dilaksanakan dengan jayanya menjadi sunnah Rasulullah SAW. Baginda dan para sahabat yang kaya rela kongsikan kekayaan peribadi mereka dan hidup secukupnya dari peruntukan tahunan Baitulmal sahaja. Setiap kali ada lebihan mereka kembalikan semula kepada Baitulmal. Konsep berpuasa, berjimat cermat, menyantuni zakat dengan ikhlas, mengutamakan jemaah dan tidak rakus mengaut kepentingan peribadi adalah kunci utamanya.
Kami telah rasai keharmonian dalam hidup berkomuniti dari sistem itu. Kami amat gembira jika prototaip dari sistem ini dapat dibesarkan skalanya ke peringkat kampung, negeri, negara malah dunia Islam sekalipun. Untuk Malaysia, kami yakin bajet berimbang dapat diselesaikan kurang dari 5 tahun dan selepas itu negara akan insyaAllah mampu memacu menjadi sebuah negara maju lagi sejahtera.
Jika pernah kami kritik tentang pengurusan ekonomi negara, bukan sahaja kerana kami ada sukarelawan yang layak dalam bidang itu, malah ia juga merujuk kepada pengalaman dari amalan secara “hands-on” kami sendiri. Itulah hasil pembangunan komuniti kami yang bermula dari kosong, hanya berpandukan AQ dan Sunnah sepenuhnya.
Kami sedar, mungkin sukar untuk sarjana-sarjana universiti ternama yang menduduki tempat di bahagian pembuat dasar mampu tundukkan ego mereka bagi menilai dan menggunakan prototaip Islam ini. Jika demikian, kami hanya dapat berpesan kepada anak-anak RPWP, jika mereka memimpin kelak, maka jadilah pemimpin yang bijaksana, tidak rakus dan boros.
dari warga Prihatin _ KREDIT-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan