Ahad, 5 Julai 2015

.NAJIB DEDAH BAGAIMANA TUN BOLEH KEKAL JADI PM 22 TAHUN.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak sekali lagi melancarkan kritikan balas terhadap serangan Tun Dr Mahathir Mohamad ke atasnya dengan berkata, bekas perdana menteri itu mampu kekal 22 tahun menerajui Umno kerana halangan perlembagaan parti ketika itu, yang memerlukan sekurang-kurangnya 63 undi ketua bahagian bagi merebut jawatan tertinggi itu.

“Kalau dahulu hendak cabar presiden, mesti ada undi 63 ketua bahagian, jadi Tun Mahathir bolehlah kekal 22 tahun guna perlembagaan itu,” katanya di majlis “Sepetang Bersama Perdana Menteri” di Klang hari ini.

Menurut Najib, dirinya masih mendapat sokongan majoriti ahli parti, walaupun sudah meminda perlembagaan Umno yang membolehkan presiden dicabar tanpa undi minima itu, malah beliau menang tanpa ‎bertanding.

Dr Mahathir sebelum ini menggesa Najib meletak jawatan berikutan kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilanda hutang mencecah RM42 bilion, di samping pelbagai masalah lain.

Di Ipoh hari ini, Dr Mahathir sekali lagi mengulangi desakan itu.

“Banyak sangat kesalahan Najib yang saya hendak cerita ini, dan saya yakin penuh kalau dia pimpin, dia akan kalah. Apabila kalah, hendak pulih balik Umno, saya fikir tamatlah,” katanya ketika berucap di majlis Bicara Negara di Ipoh, Perak.

Bagaimanapun, Najib mempersoalkan desakan Dr Mahathir itu, dan berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpendapat beliau perlu kekal.

“Presiden PAS pun faham kata saya tidak patut turun.

“Saya ini sudah dipilih melalui sistem sedia ada dan demokrasi. PAS pun faham,” katanya.

Najib berkata beliau juga mengamalkan prinsip sama seperti Dr Mahathir yang enggan berundur walaupun hampir 50% ahli Umno menolak kepimpinannya ketika memimpin parti.

Malah katanya, Dr Mahathir juga pernah menerima tekanan apabila Umno diharamkan pada 1987 selepas perpecahan dalaman parti antara “Team A” dan “Team B”, merujuk kepada krisis Umno sehingga terbentuknya Parti Melayu Semangat 46 oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

“Dia kata kalau dia menang satu undi pun, dia tetap akan jadi perdana menteri. Dia menang dengan majoriti tipis 43 undi sahaja, maknanya hampir 50% Umno tolak kepimpinan tetapi dia tidak turun jawatan.

“Jadi maknanya apa? Saya juga amalkan prinsip yang sama. Kalau hari ini semua orang sokong saya, kenapa saya perlu turun,” katanya disambut sorakan gemuruh kira-kira 2,000 pemimpin dan ahli Umno Selangor.

Najib berkata, beliau tidak bergantung kepada kuota dan undi bonus dan disebabkan itu beliau akan meneruskan khidmat sebagai presiden Umno.

Katanya, apa yang membezakannya dengan zaman pemerintahan Dr Mahathir adalah berdepan dengan cabaran media sosial dalam menjaga nama baik parti dan kempimpinannya.

“Selisih pendapat tiada masalah tapi jangan rosakkan parti yang dibangunkan selama ini. Umno terlalu banyak jasa,” katanya.

Perlembagaan Umno sebelum ini mensyaratkan seseorang yang mahu bertanding presiden terlebih dahulu mendapat kuota sokongan 57 daripada 191 bahagian (30%).

Perlembagaan itu dipinda pada 2009, enam bulan selepas Najib mengambil alih sebagai presiden, dengan memansuhkan sistem kuota, sekali gus membuka ruang kepada ahli untuk bertanding dengan syarat minimum pernah memegang jawatan ahli Majlis Tertinggi atau ahli jawatankuasa (AJK) bahagian selama satu penggal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan