Isnin, 30 Ogos 2010

MOTIVASI DARI KEMERDEKAAN ( 31 OGOS 2010)


Sambutan hari Kemerdekaan di Stadium bertutup Nasional Bukit Jalil
31/08/2010

BAGAIMANA MEMOTIVASIKAN DIRI ANDA

1. Bina Matlamat yang Jelas, Fokuskan Usaha Mencapainya

Perkataan MOTIVASI adalah berasal daripada perkataan Bahasa Inggeris - "MOTIVATION" yang mana perkataan asalnya ialah "MOTIVE" yang juga telah dipinjam oleh Bahasa Melayu / Bahasa Malaysia kepada MOTIF, yakni bermaksud TUJUAN. Oleh itu, tidak dapat kita tolak bahawa kunci utama yang memotivasikan diri kita dalam apa keadaan sekali pun adalah TUJUAN atau MOTIF kita. Atau, dalam kata-kata yang lebih mantap; matlamat, wawasan, aspirasi, hasrat atau cita-cita kita.

Ini bererti, jika anda sudah mempunyai matlamat atau tujuan-tujuan yang jelas dalam kehidupan anda, anda dengan sendirinya sudah mempunyai pendorong yang menggerakkan serta mengarah tuju anda untuk bertindak ke arah mencapai matlamat-matlamat anda.

Dengan yang demikian, seseorang yang tidak mempunyai matlamat hidup yang jelas, akan seolah-seolah meniti kehidupannya dalam keadaan gelap yang tidak pasti akan ke mana sampainya.

Oleh kerana itu, binalah matlamat atau apa juga yang anda ingin sekali capai atau miliki dalam kehidupan anda, dengan jelas. Matlamat anda itu akan menjadi kompas dan pendorong kehidupan anda. Seterusnya, fokuskanlah segala perhatian, tenaga dan usaha anda ke arah mencapai matlamat, wawasan, aspirasi, hasrat atau cita-cita anda itu.


2. Pegang Falsafah bahawa untuk
Mencapai Kejayaan, Kita Mesti Benar-Benar Serius, Dedikasi dan Bersungguh-Sungguh

Tahap kepentingan sesuatu yang seseorang ingin capai, memberi kesan terhadap tahap kesungguhannya berusaha. Oleh itu, ketekunan atau sikap tidak kenal putus asa adalah
sebenarnya terhasil daripada kemantapan dan kejelasan matlamat seseorang.

Lagi penting atau besar ertinya apa yang seseorang itu hasratkan, akan lebih terdorong dan bersungguh-sungguhlah pula ianya berusaha.

Secara tidak disedari atau disedari, matlamat yang sangat jelas itu memberi atau menjadi dorongan kuat kepada seseorang individu atau organisasi lebih komited serta bersungguh-sungguh melaksanakan usaha-usaha mencapai kejayaan atau matlamat yang telah ditetapkan terutama sekali dalam suasana dimana individu atau organisasi berkenaan mendepani cabaran kuat.

3. Bina Keyakinan Tinggi & Semangat Waja

Salah satu sebab utama kenapa motivasi seseorang menjadi lemah ialah apabila timbulnya ketidakyakinan pada diri sendiri. Seseorang yang tidak yakin, biasanya akan kalah sebelumpun melakukan apa yang patut dilakukannya untuk mencapai kejayaan.

Oleh itu, untuk mencapai kejayaan, seseorang itu mestilah berani. Pepatah positif seperti "Berani kerana benar, takut kerana salah." serta "Alang-alang menyeluk pekesam, biarlah sampai ke pangkal lengan serta." haruslah menjadi pegangan kita.

Jadi, untuk memantapkan lagi motivasi diri, kita mestilah membina keberanian positif pada diri kita. Kita mestilah mempunyai sikap berani melakukan apa sahaja yang patut kita lakukan untuk mencapai kejayaan. Namun, pada masa yang sama tidak melakukan perkara-perkara yang tidak patut dilakukan..

Oleh kerana itu, agar anda lebih yakin dan berani, anda mestilah benar-benar tahu apa yang anda harus lakukan untuk mencapai kejayaan. Ini bererti, anda hendaklah mempunyai matlamat , perancangan dan pelan tindakan mantap. Pelan tindakan ini bertindak sebagai rangka panduan, penguat fikiran serta tindakan anda dalam menangani apa juga cabaran yang anda hadapi dalam mencapai kejayaan (di dunia serta akhirat).

Penutup
Saya yakin dengan berpandukan kepada tiga perkara di atas, anda akan sentiasa dapat memantapkan lagi motivasi diri anda khususnya tatkala mood atau semangat anda menjadi lemah.

Oleh yang demikian, mantapkanlah matlamat hidup anda. Fokuskanlah usaha dan tenaga anda untuk mencapai matlamat-matlamat anda. Berusahalah dengan penuh ketekunan, dedikasi serta penuh kesungguhan.

Yakinlah bahawa anda sebenarnya BOLEH. Katakanlah kepada diri anda, SAYA BOLEH! pada setiap ketika. Lakukanlah tindakan-tindakan yang perlu anda laksanakan untuk mencapai kejayaan dengan proaktif. Jangan sekali-kali ragu-ragu melakukan apa yang mesti anda lakukan untuk mencapai kejayaan.


Insya-Allah. Semoga kita semua sentiasa dalam lingkungan kejayaan.


artikel dari taidin suhaimin.

catatan olih hazaldin

Copyright 31.08.2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan